بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Kamis, 02 Mei 2013

Zikir Yang Tersembunyi



“Seseorang yang yang telah ditetapkan untuk memperolehi kebaikan yang kekal akan mentaati perintah-perintah Allah dan meninggalkan pergantungannya terhadap tubuh badan. Dia mengucapkan kesejahteraan kepadanya dan ia akan terus kembali ke atas pada tahap ketinggiannya yang sebenarnya. Cintanya terhadap asal-usulnya yang pernah dirasakannya sebelum bergabung dengan tubuh badan meningkat secara peringkat demi peringkat. Cintanya terhadap benda yang bersifat sementara makin berkurangan. Apabila dia melupakan keseluruhan tentang tubuh badan jasmaninya yang gelap, yang mana tiada lagi rasa asyik dan cinta yang tinggal, maka dia sudah mencapai fana tubuh badan. Seterusnya, dia perlu melepasi satu daripada dua langkah asas pada jalan Tasawwuf iaitu Fana dan Baqa. Kemudian jika Allah menghendaki dan merahmatinya, dia akan mencapai peningkatan rohaniah lalu terus melupakan tentang dirinya. Apabila ketidak sedaran ini meningkat, dia akan langsung melupakan terus tentang dirinya. Dia tidak akan lagi mengenali sesuatu apapun selain dari Allah Ta’ala. Seterusnya dia akan mencapai Fana Ruh yang mana seterusnya dia perlu bergerak meneruskan langkahnya yang kedua.”

“Ruh datang ke dunia ini dengan keinginan untuk mencapai Fana yang kedua ini. Ianya tidak akan dapat dicapai tanpa datang ke dunia ini. Jika Latifah Qalb melepasi kedua-dua langkah ini bersama-sama Ruh, ia akan mencapai Fananya sendiri bersama-sama dengan Ruh. Jika Nafs menyertai Qalb dengan cara ini, ia juga akan disucikan, iaitu ia juga akan mancapai Fananya. Tetapi apabila Nafs telah mencapai tahap Qalb, jika ia tetap berada di situ tanpa berusaha mencapai peningkatan dan melepasi kedua-dua langkah ini, ia tidak akan dapat mencapai tahap ketidaksedaran. Ia tidak akan menjadi Mutmainnah atau jiwa yang tenang.”

“Seseorang yang telah mencapai Fana Ruh mungkin tidak mencapai Fana Qalb. Ruh ibarat bapa kepada Qalb dan Nafs pula ibarat ibu kepada Qalb. Jika Qalb mempunyai keinginan terhadap Ruh sebagai bapanya dan memalingkan dirinya dari Nafs sebagai ibunya dan jika keinginan ini bertambah kuat dan menarik Qalb ke arah bapanya, maka ia akan mencapai darjatnya. Ianya adalah dengan melepasi kedua-dua langkah ini. Apabila Qalb dan Ruh mencapai Fana, Nafs tidak semestinya turut mencapai Fana. Jika Nafs mempunyai keasyikan dan keinginan terhadap anaknya, dan jika keinginan ini semakin bertambah dan membuatkannya semakin dekat dengan anaknya yang telah mencapai darjat bapanya, maka ibunya juga akan menjadi seperti mereka.”

“Keadaan yang sama juga berlaku untuk mencapai Fana pada Latifah Sir, Khafi dan Akhfa. Segala ingatan dan fikiran yang telah dipadamkan dan dilenyapkan dari Qalb hatinya menunjukkan kebenaran bahawa Ia telah melupakan segala perkara yang lain selain Allah Ta’ala. Tidak ada daya upaya untuk mengingat sesuatu apa pun bermakna bahawa pengetahuan dan segala sesuatu telah lenyap. Di dalam Fana, ilmu pengetahuan juga perlu dilenyapkan.”

Apabila Allah Ta’ala mengkehendaki seseorang hamba itu termasuk ke dalam urusanNya, maka Dia akan menyampaikan hamba itu untuk berkhidmat kepada salah seorang dari WaliNya, kemudianWaliNya itu akan menilai hal keadaanya dan memberikan arahan untuknya melakukan latihan Kerohanian dan Mujahadah dan menyucikan batinnya dan menerusi memperbanyakkan Zikir dan Fikir, latifah-latifahnya yang tersembunyi itu akan kembali bertawajjuh kepada asal usulnya.

Pada zaman ini, disebabkan kebanyakan penuntut menghadapi lemah semangat dan Himmat, kerana itulah Para Masyaikh Naqshbandiyah Rahimahumullah semenjak awal lagi mengarahkan murid mengamalkan jalan zikir dan sebagai menggantikan amalan dan latihan yang sukar serta Mujahadah dan Ibadah yang berat, mengarahkan amalan yang sederhana dan sentiasa memerhatikan waktu untuk melaksanakan ibadah dan melakukankan Tawajjuh kepada murid.

Para Masyaikh Naqshbandiyah telah mengarahkan sekelian murid mereka menuruti Sunnah Nabi Muhammad s.a.w. dan menjauhi segala bentuk Bid’ah serta mengarahkan para murid mereka untuk melakukan Zikir Khafi iaitu zikir yang tersembunyi.

~salaam~


Tidak ada komentar:

Posting Komentar