بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Kamis, 02 Mei 2013

RAHSIA MAKRIFAT 11 : JALAN DINAUNGI DI DUNIA DAN AKHIRAT



Firman Allah dalam Surah Az-Zumar Ayat 9 :

"Engkaukah Yang lebih baik atau orang Yang taat mengerjakan Ibadat pada waktu malam Dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? "Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang Yang mengetahui Dengan orang-orang Yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang Yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang Yang berakal sempurna.
Menurut ahli tasawuf, berilmu yang dimaksudkan di sini ialah Ilmu Makrifatullah. Inilah ilmu yang paling utama dan penyelamat bagi manusia. Mengenal Allah secara ilmu zahiri adalah sebagai pengenalan awal kepada diriNya sedangkan pengenalan melalui cahaya hati adalah pengenalan yang hakiki.
Hati yang bersih akan tersingkap baginya pelbagai rahsia ketuhanan. Semakin ia bersih, semakin memancarlah makrifat pada hatinya. Hati yang memancar ini adalah hati yang melalui proses ilmu, ibadah dan mujahadah yang istiqamah. Mereka yang tersingkap kepadanya rahsia ihsan (sentiasa melihat Allah atau Allah melihatnya) imannya tidak perlu kepada dalil atau bukti untuk membuktikan wujud Tuhan. Ini kerana hatinya sentiasa melihat Allah di dalam pandangan dan pendengarannya di mana saja ia berada.
Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah : Ayat 115
Dan Allah jualah Yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap Allah) maka di situlah arah Yang diredhai Allah; Sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi sentiasa mengetahui.
Hati yang bersih dari segala hijab keduniaan dan nafsu akan melihat dan merasai ayat-ayat Allah dengan pandangan hakikat. Inilah kasyaf yang hakiki di mana hatinya dapat menangkap rahsia ayat-ayat Allah dengan penglihatan yang haq.
Firman Allah Taala:
“Sesungguhnya tidaklah menyentuh Al-Quran itu melainkan mereka yang suci…”
Ayat ini ditafsir oleh ulama tasawuf dengan maksud bahawa ayat-ayat Allah tidak akan berada dalam jiwa yang kotor. Bacaan mereka hanyalah di lidah, bukannya di hati. Ilmu mereka hanyalah di akal tapi tidak di hati.
Surah Al-Hadid : Ayat 4
Dia lah Yang telah menciptakan langit dan bumi Dalam enam masa, kemudian ia bersemayam di atas Arasy; ia mengetahui apa Yang masuk ke bumi serta apa Yang keluar daripadanya; dan apa Yang diturunkan dari langit serta apa Yang naik padanya. dan ia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada, dan Allah Maha melihat akan apa Yang kamu kerjakan.
Kalau hati kamu keras dan tidak merasa apa-apa, ayat di atas hanyalah sekadar suatu maklumat pada akalmu sahaja. Dan apabila hal keTuhanan berada pada akal, ia akan hilang apabila kamu berfikir pada perkara yang lain pula. Tetapi jika hatimu bersih, ayat ini dapat dirasai dan dilihat dengan pandangan cahaya hati sehingga merasai kebersamaan dengan Allah di mana saja berada.
Mereka yang mengingati Allah dalam penghayatan dan penglihatan akan merasai kelazatan iman dan makrifat yang tidak terhingga. Allah adalah kekasihnya dan ia meninggalkan apa jua yang boleh melalaikan ia dengan Allah. Allah adalah yang dirindui dan ia menjadi perindu, Allah menjadi pujaan dan ia sebagai pemuja.
Sesiapa yang mengenal Tuhan, ia akan mencintai Tuhan dan leburlah segala keindahan yang lain. Sesiapa yang mengenal Tuhan, tiadalah ia resah gelisah dengan apa jua yang menimpanya. Memancar pada hatinya sifat kecintaan, keyakinan, ketakwaan, kerinduan dan ia mendapat perlindungan dari Allah SWT. Ini disebabkan hatinya sentiasa bercahaya dengan zikrullah.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar