بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Kamis, 02 Mei 2013

RISALAH MAKRIFAT 3 : PEMBAHAGIAN MAKRIFAT



Makrifat terbahagi kepada dua:
Makrifat anugerah daripada Allah
Makrifat kasab yakni memakrifat akan hamba kepada Allah dengan mengerahkan segala kemampuan melalui ilmu, tafakur dan mujahadah.
Berkata Abu Turab an Nakhsyabi rm apabila ditanya tentang orang arif, “mereka adalah orang yang tiada dikotori oleh apa saja, sementara sesuatu akan jernih dengannya”.
Berkata Ahmad bin Atha rm, “Makrifat itu ada dua, makrifat al Haq dan makrifat hakikat. Makrifat al Haq adalah makrifat mengetahui WahdaniyyahNya melalui nama-nama dan sifat-sifat yang dinampakkan pada makhlukNya. Sedangkan makrifat hakikat, tiada jalan untuk sampai ke sana sebab tiada memungkinkannya sifat Shamadiyyah (keabadian dan tempat ketergantungan makhlukNYA dan mengkhususkan RubbubiyahNYa. Firman Allah q.s. Thaha:110, “Sedangkan ilmu mereka tidak dapat meliputi IlmuNya”.
Maksud perkataan Ahmad bin Atha, “tiada jalan untuk sampai ke sana” yakni makrifat secara hakiki akan Dzat Allah. Sebab Allah telah menampakkan Nama-nama dan sifat-sifatNya kepada makhlukNya di mana Dia tahu bahawa itulah kadar kemampuan makhluk untuk mengenalNya. Untuk mencapai makrifat hakiki akan rahsia kewujudanNya, tiada akan mampu dimiliki oleh makhluk kerana  keterbatasan kemampuan. Makhluk hanya mampu mencapai makrifat pada garisan yang diizinkan sahaja, maka di situlah wujud perbezaan antara makrifat para Nabi-Nabi as dan makrifat para aulia-aulia. Adapun yang hakiki akan Dzat mengenal akan dirinya, sebesar atom pun  makhluknya tiada kan dapat mencapaiNya. Dirinya tetap dalam selubung yang tertinggi, maka dirinya hanya dapat dikenali melalui pancaran tajalli rahsia pada martabat alam daripada ahadiah, wahdah, wahdaniah, alam ruh, alam mitsal, alam ajsam dan alam insan. Rahsia yang dilimpahkan hanya setitik daripada rahsia makrifat dirinya. Maka jika terbuka hijab seorang hamba itu dengan Allah, dia wajib mengetahui bahawa makrifat yang dibukakan kepadanya berada pada tingkatan mana, maka dia perlukan mursyid memandunya pada mengetahui makrifat tersebut.
Justeru itu berkata Arifbillah, “Tiada jalan selain Dia yang sanggup mengetahuiNya, dan tiada yang sanggup mencintaiNya selain Dia sendiri. Sebab Kemahaagungan dan keabdianNya tiada akan dapat ditembusi oleh sesiapa dan tiada dapat difahami secara jelas oleh sesiapa.
Firman Allah yang bermaksud; “Dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendakiNya.” (al Baqarah:255)
Diriwayatkan dengan perkataan Sadina Abu Bakar al Sidiq r.a, “Maha suci Dzat Yang tiada membuka jalan untuk makrifatNya kecuali dengan menjadikan seseorang tidak sanggup mengetahui-NYa.
As Syibli rahimullah pernah ditanya, “bila seorang berada dalam tempat kesaksian al Haq?
Ia menjawab, “Tatkala Dzat Yang menyaksikan Nampak, dan bukti-bukti pada alam yang menjadi saksi telah fana, indera dan perasaan pun menjadi hilang”.
Apa awal dari masalah ini dan apa pula akhirnya?
Ia menjawab “ Awalnya adalah makrifatNya dan hujungnya adalah mentauhidkan-Nya”
Salah satu dari tanda benar makrifat adalah seorang itu dapat melihat dengan cahaya yang dianugerahkan Allah pada hatinya  dengan dapat melihat dirinya berada dalam “Genggaman” Dzat Yang Maha Agung, dan segala perlakuan Kekuasaan Allah berlangsung menguasai diriNYa.
Tanda makrifat yang benar adalah datangnya jiwa mahabbah sebab barangsiapa yang benar makrifat, wajib mencintaiNYa. Sesungguhnya bicara para arif adalah datang dari perasaan lantaran lantunan cahaya makrifat pada mereka, agak sukar untuk difahami jalan mereka melainkan melalui jalan mereka. Hanya mereka yang bercinta memahami bahasa orang yang bercinta.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar